ROMPIN – Seorang kontraktor dan pengusaha sebuah restoran kerugian hampir RM50,000 apabila kediaman mereka di Taman Cemerlang 2 Tanjung Gemok, di sini dipecah masuk pagi kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10 hingga 12 tengah hari ketika penghuni sebuah kediaman tiada di rumah, manakala sebuah rumah lagi dipecah masuk sewaktu seorang anak mereka sedang tidur di sofa.
Kejadian itu adalah kes pecah rumah kali kedua berlaku di kawasan perumahan itu selepas kejadian sama dilaporkan pada Mei lalu sejak penghuni mula mendiami kawasan perumahan itu kira-kira 10 bulan lalu.
Poh Meng berkata, dia segera masuk ke rumah dan terkejut apabila mendapati rumahnya berselerak dengan pakaian atas lantai bilik tidur sementara beberapa barangan berharga yang diletakkan atas sebuah rak juga turut hilang.
Malah, katanya, kotak perakam kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan bawah televisyen di rumahnya itu turut dikebas pencuri bagi menyukarkan identiti individu yang memecah masuk rumah dikesan.
“Pencuri juga bertindak licik apabila memecahkan kotak penggera keselamatan yang dipasang atas dinding rumah bagi memastikan alat keselamatan tidak berbunyi sewaktu mereka masuk dalam rumah,” katanya.
Katanya, dia terus menghubungi isterinya, Yong Wei Kuan, 37, yang ketika itu berniaga di sebuah restoran di Tanjung Gemok.
“Walaupun rumah saya dilengkapi CCTV, namun pencuri tidak takut dan saya percaya perbuatan ini dilakukan individu licik dan biasa menjalankan kerja memecah masuk rumah kediaman,” katanya.
Wei Kuan, berkata, dia kesal dan terkilan dengan kejadian itu kerana usahanya selama ini menyimpan wang sebanyak RM10,000 dalam sebuah laci almari pakaian dalam biliknya dikebas pihak tidak bertanggungjawab.
Malah, katanya, barang kemas yang disimpan bawah katil juga turut lesap dikebas pencuri.
“Saya kesal kerana barang berharga seperti Samsung Tab, sebuah komputer, Samsung Note, kad pengenalan dan jam tangan dikebas pencuri,” katanya.
Katanya, anak-anaknya juga sedih kerana gajet yang dicuri pihak terbabit turut mengandungi maklumat peribadi.
“Anak-anak saya menangis sesama mereka disebabkan gajet mereka dicuri pihak tidak bertanggungjawab,” katanya,
Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik berikutan rompakan itu berlaku sewaktu penghuni tiada di rumah kerana khuatir sesuatu yang tidak diingini boleh berlaku termasuk diugut dan dicederakan penjenayah.
Tak sedar rumah dimasuki penjenayah
SEMENTARA itu, pengusaha restoran, Tay Ley Yee, 37, berkata, sebaik saja sampai di rumah, dia tergamam apabila melihat beberapa keping wang kertas bertaburan atas simen rumahnya dan menganggap ada perompak cuba meloloskan diri setelah mencuri di rumah sebelah.
Bagaimanapun, sangkaannya meleset apabila wang kertas bertaburan itu adalah wang yang ditinggalkan perompak sewaktu memecah masuk kediamannya.
Katanya, semasa kejadian, dia tidak berada di rumah kerana bersama suaminya, Lim Chin Chiug, 42, di restoran sementara hanya ada seorang anak mereka, Lim Wann Ting, 19, di rumah.
Bagaimanapun, katanya, Wann Ting ketika itu tidur di sofa ruang tamu rumah dan tidak menyedari kehadiran penjenayah disebabkan penat bekerja pada waktu malam.
“Hanya dia sahaja ada di rumah tetapi dia tak sedar semasa kejadian berlaku,” katanya.
Menurutnya, penjenayah terbabit dipercayai masuk ke rumahnya melalui tingkap depan berdasarkan kesan umpil pada bahagian besi tingkap.
Katanya, penjenayah juga mengambil tunai RM12,000 dan barang kemas.
“Selain itu beberapa barangan berharga seperti komputer riba dan telefon bimbit juga dilarikan penjenayah dengan anggaran kerugian hampir RM25,000,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya mengesahkan pihaknya menerima laporan dan aduan daripada mangsa dan siasatan giat dijalankan bagi mengesan penjenayah terbabit.
“Kita masih mengenal pasti suspek dan usaha mengesan giat dijalankan,” katanya.