Sabtu, 13 Oktober 2012

Kabel elektrik dicuri angkara siapa ????


Kabel elektrik dicuri
BAYAN LEPAS - Kabel elektrik yang menghubungkan Madrasah Al-Khairiah Al-Islamiah dan surau Kampung Bukit dicuri pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kelengkapan yang sedia ada tidak dapat digunakan dengan sempurna.

Guru Besar Madrasah, Mohd Nazri Idris, 41 berkata, kabel elektrik yang dicuri pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan murid terpaksa berpanas ketika waktu rehat kerana kipas yang ada tidak dapat berfungsi.

“Begitu juga dengan jemaah wanita yang terpaksa bersolat dalam keadaan kurang selesa kerana kipas tidak berfungsi akibat kabel elektrik itu yang bersambung antara madrasah dan surau terbabit dicuri.

“Selain itu, sebanyak lapan lampu kalimantang turut hilang dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayan Lepas,” katanya.

Mohd Nazri mengakui, beliau agak kecewa dengan kegiatan vandalisme yang berlaku di surau yang sudah berusia 91 tahun itu.

“Ia merupakan kali kedua kejadian seumpama ini berlaku dan awal tahun ini sahaja, ada pihak tidak bertanggungjawab bertindak memecahkan pintu kantin dan melarikan bekalan makanan ringan.

“Kali ini, kabel elektrik sepanjang 150 meter pula yang diambil sehingga menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1,800.

“Peruntukan terhad menyukarkan kami untuk memperbaiki dan menyelenggarakan sistem pendawaian baru yang pastinya membabitkan kos tinggi,” katanya.

Beliau berkata, madrasah yang menempatkan kira-kira 100 pelajar itu mudah menjadi tumpuan kerana tidak berkunci.
“Walaupun bahagian hadapan berpagar, tetapi kami tidak menguncinya kerana ianya terletak di dalam kawasan surau dan hanya akan menyukarkan orang ramai untuk keluar masuk menunaikan solat.
“Madrasah ini beroperasi pada waktu pagi dan petang. Saya berharap agar kejadian seumpama ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk mengenal pasti kerosakan dan jumlah yang diperlukan untuk membiayai kos penyelenggaraan wayar terbabit.

“Madrasah dan surau ini pernah mendapat bantuan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan melalui peruntukan yang diberikan, kami menaik taraf dan meningkatkan kemudahan yang ada untuk masyarakat setempat.

“Justeru, kami akan meneliti jumlah kerosakan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...