Ahad, 28 Oktober 2012

Salak mayat dalam but

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Misteri salakan luar biasa seekor anjing membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Taratai 33, Taman Johor Jaya, di sini, petang kelmarin.

Ia susulan gelagat pelik anjing terbabit yang tiba-tiba meluru ke arah sebuah kereta Perodua Kancil sebelum menyalak kuat ketika pemiliknya membawa haiwan itu berjalan, jam 5.45 petang.


Pelik dengan kelakuan anjingnya selain terhidu bau busuk dari kereta berkenaan menyebabkan dia menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.



Pihak berkuasa memanggil sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa berikutan but kereta itu berkunci.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat wanita itu dan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.



Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan awal menemui mayat wanita di dalam but.



“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai berusia 30-an dan ketika ditemui, dia masih berpakaian lengkap.


“Pemeriksaan lanjut dijalankan tetapi kami tidak menemui butiran lanjut mengenai mangsa, namun kita percaya dia warga tempatan.



“Pemeriksaan polis menemui kesan tikaman di perut wanita itu,” katanya.


Roslan berkata, siasatan dijalankan mengikut pelbagai sudut untuk mengetahui punca dan motif sebenar kejadian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.



“Selain mengesan identiti, kita menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit untuk mencari petunjuk.



“Berikutan itu, orang ramai yang ada maklumat diminta tampil membantu polis,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...