MARANG - Gara-gara buah durian, seorang pemuda berdepan detik mencemaskan apabila ditikam di lengan kirinya selepas menegur dua lelaki mencurigakan yang menceroboh kebun durian milik keluarganya di Bukit Sungai Serai kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Razak Ismail, 29, cedera di lengan kiri dan menerima tiga jahitan akibat tikaman tersebut.
Razak berkata, setibanya di kebun durian keluarganya itu, dia terserempak dengan dua lelaki lingkungan 30-an dalam keadaan mencurigakan berada di dalam kebun durian itu, dipercayai ingin mencuri buah durian.
Razak berkata, nekad untuk mempertahankan diri, dia bergelut dengan penyerang terbabit menyebabkan lengan kirinya ditikam dengan objek tajam itu, sebelum penyerang terbabit dan rakan melarikan diri apabila melihat kehadiran adiknya, Rahimi, 20.
“Nasib baik adik berada tidak jauh di belakang saya menyebabkan mereka terkejut dan melarikan diri. Saya yang dalam kesakitan dan berlumuran darah dibawa pulang menggunakan motosikal,” katanya.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.