KOTA BHARU- Menggunakan taktik memakai kopiah dan berpakaian sopan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, tiga lelaki memecah masuk sebuah premis kereta terpakai di Jalan Lundang, di sini, kira-kira jam 6 pagi kelmarin.
Bagaimanapun penjenayah terbabit yang menaiki kereta jenis Honda City berwarna kelabu berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pemilik premis itu bersama beberapa anggota polis.
Pemilik kedai berkenaan, Othman Mohamad Noor, 41, berkata, salah seorang penjenayah itu memakai kopiah di kepalanya bertindak mengumpil pintu kereta bahagian pemandu namun gagal melarikan kenderaan pacuan empat roda yang diparkir di bawah garaj kereta itu selepas menyedari kehadirannya.
“Sampai di kawasan kejadian, saya nampak ada tiga lelaki dengan salah seorangnya memakai kopiah berdiri di luar pagar kedai, saya tak berani nak pergi dekat takut kalau penjenayah itu membawa pistol atau senjata,” katanya kepada Sinar Harian.
Othman berkata, kereta terbabit diparkir di kawasan itu sejak dua bulan lalu sebelum menunggu masa untuk dijual.
“Ini merupakan kejadian pertama sepanjang tujuh tahun menjalankan perniagaan menjual kereta terpakai di kawasan ini.
“Saya harap polis dapat membuat siasatan dan melakukan pemantauan segera berhubung kejadian ini, memandangkan keadaan kedai kereta ini menjadi tumpuan utama penjenayah disebabkan lokasinya yang berada di tepi jalan besar," katanya.