ROMPIN – Hancur luluh perasaan sepasang suami isteri apabila mengenangkan gaji bulanan suami yang akan digunakan bagi perbelanjaan persekolahan anak dan barangan keperluan dapur tiba-tiba lesap.
Pasangan itu, Lam Yat Kong, 44, dan isterinya, Razmah Abdul Rahman, 44, terkejut apabila mendapati gaji yang diperoleh suami sebanyak RM1,251.05 yang dimasukkan ke dalam akaun isterinya di sebuah bank di Muadzam Shah ghaib.
Razmah berkata, dia tidak menyangka wang diperoleh suami yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta hangus begitu sahaja, apatah lagi mereka terpaksa menanggung dua anaknya yang masih bersekolah.
Razmah berkata, pada mulanya, dia menyangka wang gaji suaminya belum dimasukkan majikan, namun selepas membuat laporan di bank, dia terkejut apabila ada pihak lain mengeluarkan wang tersebut.
“Pihak bank memberitahu gaji suami sudah dimasukkan ke dalam akaun saya, namun ada pihak lain yang dipercayai sudah mengeluarkan keseluruhan wang tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia sungguh kesal kerana wang itu akan digunakannya sebagai perbelanjaan dalam tempoh sebulan hingga menyebabkan dia dan suami hilang arah selain terpaksa meminjam daripada rakan yang lain.
“Saya sungguh kesal dengan kejadian ini, malah terkejut kerana wang saya boleh lesap secara tiba-tiba, apatah lagi wang itu disimpan dalam akaun sebuah bank,” katanya.
Menurutnya, dia juga mengakui tidak membuat pendaftaran perbankan Internet selain tidak pernah membuat transaksi pindahan kepada mana-mana pihak ketiga.
“Apa yang mengecewakan kami, wang itu lebur begitu sahaja, sebaliknya pihak bank pula seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab ke atas kehilangan wang tersebut,” katanya.
Katanya, bimbang keselamatan wangnya itu, dia mengambil keputusan untuk membuat laporan di Balai Polis Bukit Ibam bagi tujuan tindakan susulan.