Selasa, 27 November 2012

KEGIATAN MEROMPAK MESIN ATM BERMULA LAGI


Bahan bukti - ATM
KUALA LUMPUR - Khuatir perbuatan mereka dikesan pihak berkuasa sekumpulan penjenayah nekad meninggalkan lokasi termasuk bahan bukti selepas gagal merompak mesin juruwang automatik (ATM), di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kejadian disedari pekerja pembersihan di Masjid Al-Hidayah, Jalan Sentul kira-kira jam 9 pagi semalam di sini, yang melihat terdapat kesan bakar satu unit kios ATM Bank Islam terletak tempat khas, luar pagar masjid berkenaan.

Menurutnya, siasatan polis mendapati terdapat satu unit ATM dan satu unit kios Cash Deposit di lokasi, namun hanya kios ATM yang terdapat kesan bakar menggunakan bahan Oxytelene.

“Perbuatan itu dipercayai dilakukan selepas tengah malam tadi (semalam) dan ATM itu didapati tidak berjaya dipecahkan dan tiada wang berjaya dikeluarkan.

“Polis turut menjumpai dua tong gas dan satu beg galas mengandungi alat pecah rumah di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zakaria berkata, polis tidak menolak kemungkinan cubaan merompak itu dilakukan oleh lebih dari seorang suspek.

“Suspek dipercayai tergesa-gesa meninggalkan lokasi setelah gagal memecahkan ATM tersebut atau mungkin khuatir perbuatan mereka dilihat orang lain,” katanya.

Sementara itu, kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...