KUALA TERENGGANU - Pejabat Sinar Harian cawangan Terengganu dan sebuah SPA kecantikan serta sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Mahmud, Batu Burok di sini, dipecah masuk, hari ini.
Kejadian tersebut hanya disedari pagi ini apabila pekerja di ketiga-tiga buah premis memulakan operasi.
Wartawan Kanan Sinar Harian cawangan Terengganu, Farah Shazwani Ali berkata, kejadian tersebut hanya disedari kira-kira jam sembilan pagi oleh salah seorang wartawan yang datang membuka pejabat.
“Saya kemudiannya dihubungi kira-kira jam 9.15 pagi dan memaklumkan pintu dan gril pejabat tidak berkunci manakala pejabat berada dalam keadaan berselerakan, seperti dipecah masuk.
“Saya kemudiannya bergegas ke pejabat dan membuat pemeriksaan. Saya mendapati terdapat kesan umpilan pada pintu gril dan beberapa barangan seperti kamera Nikon D40, dua buah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai turut hilang,” katanya.
Jelas Farah, anggaran kerugian adalah kira-kira RM2,500 dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 11.03 pagi.
Sementara itu, Safinah Abdul Majid, 20, iaitu pekerja SPA kecantikan memberitahu, kejadian tersebut hanya disedari kira-kira jam 9.45 pagi, semasa dia sampai di pejabat.
Katanya, pintu hadapan spa kecantikan itu telah diumpil dan apabila masuk ke dalam kedai, dia dapati barang yang hilang ialah sebuah laptop jenama Dell.
Sinar Harian difahamkan, pejabat kedai serbaneka itu turut digeledah dan dalam keadaan berselerakan manakala beberapa barang berharga dan wang tunai juga dilaporkan hilang. Kesemua mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu.