KUANTAN - Seorang petugas Pejabat Hutan Daerah Bentong maut manakala isterinya cedera dalam kejadian samun di kuarters Pejabat Hutan Bentong, Jalan Tras dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian pada 4.40 pagi, Khairul Hazri Jamaludin, 31, dan isterinya yang berusia 28 tahun, sedang tidur di ruang tamu.
Katanya pasangan itu tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan senapang patah yang masuk ke dalam rumah menerusi tingkap bahagian dapur.
Abdul Aziz berkata suspek turut menghentak kepala isteri mangsa tetapi mangsa bertindak mempertahankan isterinya.
"Perompak tersebut mengambil barangan berharga milik pasangan suami isteri itu sebelum melarikan diri," katanya.
Beliau berkata Khairul Hazri dan isterinya dibawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan setelah isterinya berjaya mendapatkan pertolongan orang awam yang lalu di jalan di hadapan rumah mereka.
Bagaimanapun, katanya mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Bentong kira-kira 7 pagi ini manakala isterinya menerima rawatan dan pemeriksaan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.- Bernama