Rabu, 21 November 2012

Perompak kedai emas berputih mata


Perompak kedai emas berputih mata
IPOH – Sekumpulan perompak bersenjatakan pistol dan tukul besi yang bertindak nekad merompak sebuah kedai emas terpaksa ‘berputih mata’ apabila mereka diberkas dalam satu kejadian samun di Jalan Litte India di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, empat lelaki memasuki kedai terbabit dengan memakai topi keledar muka penuh bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah cermin pameran.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, dua anggota polis yang berada di kawasan kejadian berjaya memberkas tiga suspek setelah mengejar sejauh 100 meter.

“Dua anggota polis itu bertugas sebagai pengiring dari Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dalam perjalanan menuju ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) membawa seorang suspek bersangkutan kes lain.

“Tiba di kawasan kejadian, mereka melihat suspek tergesa-gesa melarikan diri dengan menggenggam emas, lalu bertindak melanggar motosikal milik penjenayah terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya masih mengesan seorang lagi suspek yang berjaya melarikan segenggam emas.

“Siasatan awal mendapati dua daripada suspek berkenaan adalah bekas banduan yang baru dilepaskan dari penjara manakala seorang lagi masih disiasat.

“Motosikal yang digunakan suspek juga adalah motosikal curi bersangkut kes di Shah Alam, Selangor. Kita juga menjumpai sepucuk pistol model Baretta dan dua tukul besi yang digunakan dalam kejadian ini,” katanya.

Mohd Shukri berkata, jumlah kerugian belum dianggarkan namun, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...