KUALA LUMPUR: Seramai 17 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam pertukaran dan kenaikan pangkat sempena penstrukturan semula pasukan itu berkuat kuasa semalam.
Mengetuai senarai kenaikan pangkat dan pertukaran itu, Ketua Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob yang dinaik pangkat dengan memangku pangkat komisioner (CP).
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) PDRM, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf, dalam kenyataan media berkata, Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan), Datuk Rusli Ahmad dilantik membantu Ayub sebagai timbalannya dengan memangku pangkat deputi komisioner (DCP).
“Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Datuk Shabudin Abdul Wahab, dilantik menjadi Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku jawatan deputi komisioner (DCP) “Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali dan Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof bertukar jawatan antara satu sama lain,” katanya.
Katanya, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dinaikkan pangkat memangku SAC sebagai Ketua Jabatan Ketenteraman Awam (KJKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).