Jumaat, 7 Disember 2012

OKU maut diserang perompak


Hamid menunjukkan kerusi yang diduduki anaknya. Gambar kecil: Mohd Firdaus
BERUAS - Seorang lelaki kurang upaya (OKU) mati selepas bergelut dengan dua lelaki yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pulau Kabung, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa dikenali, Mohd Firdaus Hamid, 31, yang mempunyai masalah lembam dikatakan sedang duduk di sebuah kerusi menonton televisyen sementara menunggu masuk waktu Subuh.

Mangsa yang tinggal bersama kedua ibu bapanya, Hamid Puteh, 86, dan Asmah Yahya, 73, dikatakan gemar bangun seawal jam 4 pagi dan menonton televisyen sementara menunggu solat jemaah bersama keluarga di masjid berhampiran.

Ketika kejadian, kedua ibu bapa mangsa tidur di sebuah bilik di bahagian dapur.

Asmah ketika ditemui berkata, dia hanya menyedari insiden berkenaan sebaik mendengar bunyi bising dari arah hadapan rumah.

“Apabila keluar sahaja dari bilik, salah seorang daripada mereka mengheret hingga ke kerusi sebelum mengacu parang untuk mengugut saya jika melawan, tidak cukup dengan itu, mereka menolak pula suami saya sehingga pengsan,” katanya.

Asmah yang turut diikat kedua-dua tangan berkata, kedua-dua lelaki berkenaan bertindak menggeledah rumahnya dan segera meninggalkan kediaman itu sebaik memperoleh barangan berharga.

Katanya, sebaik kelibat kedua-duanya menghilang, barulah dia menyedari keadaan anaknya yang sudah tidak sedarkan diri.

“Panik dengan keadaan itu, saya berlari ke rumah jiran untuk meminta pertolongan, bila pulang kembali ke rumah baru saya sedar, anak saya sudah tiada lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, kejadian berlaku apabila dua suspek memecah masuk rumah mangsa.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, ada pergelutan berlaku antara suspek dengan mangsa.

“Suspek berkenaan berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM8,000 dan barang kemas dianggarkan bernilai RM15,000, kes disiasat di bawah Seksyen 302 iaitu membunuh,” katanya.

Buat masa ini, beliau berkata, polis masih melancarkan misi memburu kedua-dua lelaki berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...