Jumaat, 7 Disember 2012

Pecah masuk ikut tingkap


Pecah masuk ikut tingkap
ALOR GAJAH - Seorang ibu tunggal beranak lima terkejut apabila rumah sewa yang didiami lebih 10 tahun lalu dipecah masuk perompak di sebuah taman di Masjid Tanah, dekat sini tengah hari kelmarin.
Kejadian berkenaan disedari Jamaliah Shaari, 46, kira-kira 12.30 tengah hari sebaik memasuki rumah dan mendapati pintu bahagian tengah rumah yang dikunci terbuka.
Menurutnya, dia bersama lima anaknya baru sahaja pulang dari kampung di Kuala Kangsar, Perak mula merasakan sesuatu tidak baik berlaku kepada rumahnya.
“Apabila melihat pintu bahagian tengah yang dikunci sebelum bertolak pada Sabtu lalu sudah terbuka saya segera menuju ke dapur.

"Pintu dapur didapati sudah terbuka manakala saluran paip yang diletakkan berdekatan palang kayu bahagian tandas sudah berjuntai," katanya.

Jamaliah berkata, dia terkejut apabila menyedari jeriji tingkap bilik kedua bersebelahan dapur dalam keadaan bengkok sebelum memeriksa keadaan di bilik.

"Pemain cakera yang disimpan dalam bilik hilang termasuk dua telefon bimbit yang diletakkan di kabinet ruang tamu.

“Melihat pada kesan bengkok pada besi jeriji tingkap ini, saya merasakan perompak berkenaan kecil dan kurus,” katanya di sini.

Katanya, bagaimanapun dia bersyukur kerana kejadian berkenaan tidak membabitkan nyawa anaknya apatah lagi kini kehidupannya hanya bergantung kepada pekerjaan anak sulungnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian pecah rumah yang didiami enam sekeluarga itu dan kes masih dalam siasatan polis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...