CUAI DAN TIDAK CAKNA DENGAN TUGAS YANG DIPERTANGGUNGJAWABKAN.
GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang mengerahkan 120 anggotanya bagi memburu tujuh tahanan yang meloloskan diri selepas merampas van polis di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dekat sini, semalam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, gerakan memburu penjenayah terbabit turut dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Udara Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
"Kita yakin banduan berkenaan masih berada di sekitar Tasek Gelugor dan polis telah membuat sekatan jalan raya di seluruh kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Tek A di sini, hari ini.
Beliau berkata polis juga masih menyiasat bagaimana tahanan terbabit mendapat serbuk kari yang dilempar pada muka anggota polis pengiring sebelum mereka melarikan diri.
Katanya orang ramai yang ternampak kelibat lelaki dalam keadaan mencurigakan diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan dengan segera kerana kumpulan penjenayah yang melarikan diri itu adalah sangat berbahaya dan agresif. - Bernama