Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan dua kesan tetakan pada lehernya, di rumah sewanya di Flat Sri Kuching di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata wanita berusia 36 tahun itu dipercayai mati akibat dibunuh, pagi ini.
"Mayat mangsa ditemui berpakaian lengkap dan terlentang di dalam bilik air. Terdapat kesan lebam pada mata serta dua tetakan di belakang lehernya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Berikutan kejadian itu, katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang tinggal serumah dengan mangsa.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama