Selasa, 8 Januari 2013

Maut ditetak lima suspek

Gambar hiasan

TANJUNG MALIM – Seorang kelindan lori maut diserang lima lelaki bersenjatakan parang dalam satu pergaduhan di Taman Bernam, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, V Punithan, 30, dipercayai baru pulang ke rumah selepas makan malam bersama rakannya, sebelum didatangi sekumpulan lelaki bertopeng.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Othman Nanyan berkata, mangsa meninggal dunia sejurus dimasukkan ke Hospital Slim River selepas mengalami kecederaan parah akibat ditetak di beberapa bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa didatangi lima lelaki yang berusia lingkungan 30-an menaiki kereta jenis Proton Waja. Mereka memakai topeng muka dan bersenjatakan parang menyerang mangsa berhampiran kediamannya.

“Mangsa lari untuk menyelamatkan diri namun, gagal selepas dikepung. Mangsa cedera di tangan, badan dan kaki,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang berada berhampiran cuba membantu mangsa dengan membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim sebelum dirujuk ke Hospital Slim River.

“Kita menerima maklumat dari pihak hospital yang memaklumkan mangsa telah meninggal dunia ketika mendapat rawatan selepas dua jam dimasukkan

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. Laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat tetakan dan kecederaan disebabkan objek tajam. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Beberapa suspek sudah diberkas bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini. Siasatan lanjut masih dijalankan dan dipercayai motif kejadian berpunca daripada pergaduhan antara mangsa dan suspek,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...