Gambar hiasan |
SABAK BERNAM: Seorang bayi lelaki berusia seminggu ditemui di luar warung kopi di Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan di sini, hari ini.
Bayi yang dibaluti kain batik dan diletak di dalam sebuah beg pakaian itu ditemui pemilik warung, Khairuddin Hassan, 51, kira-kira jam 7 pagi ketika ingin memulakan perniagaan.
Khairuddin berkata, apabila tiba di depan warungnya, beliau ternampak sebuah beg pakaian di atas tanah di tepi meja lalu membukanya untuk mengetahui isi kandungan beg itu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu dihantar ke Hospital Tanjong Karang dekat sini untuk pemeriksaan kesihatan.
"Bayi ini didapati tidak cedera dan dia bernasib baik kerana masih bernafas di dalam beg yang zipnya tidak ditutup sepenuhnya. Kami percaya bayi itu ditinggalkan di luar warung itu pada waktu subuh," katanya.
Noor Mushar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
- BERNAMA