Rabu, 30 Januari 2013

Polis lancar gerakan besar-besaran kesan remaja hilang di gim


KUALA LUMPUR: Polis melancarkan gerakan besar-besaran bagi mengesan seorang remaja M.Jethendran yang dilaporkan hilang selepas mengunjungi gim di Taman Desa, Jalan Kelang Lama di sini, Jumaat lalu. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhd Azlee Abdullah berkata, gerakan itu dilancarkan selepas polis mengedar gambar remaja berusia 16 tahun itu ke balai polis di seluruh negara serta orang ramai bagi membantu mengesan mangsa. 

"Berikutan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa pada 25 Jan lepas, polis memulakan gerakan mengesan remaja terbabit. Buat masa ini polis belum menemui sebarang petunjuk mengaitkan kehilangan remaja ini dengan kes penculikan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini hari ini. 

Muhd Azlee berkata, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan polis mengambil keterangan beberapa saksi termasuk anggota keluarga mangsa bagi membantu siasatan. 

Beliau berkata menurut bapa mangsa R.Mahatheven, 48, sebelum dilaporkan hilang, Jethendran ada menghubungi ibunya kira-kira jam 3.45 petang dan memberitahu akan pulang menaiki teksi sebelum dilaporkan hilang dan apabila keluarga menelefon kembali telefon bimbit mangsa telah dimatikan. 

"Menurut bapa mangsa tiada sebarang masalah antara anaknya dan anggota keluarga, dan anaknya merupakan seorang remaja yang aktif dalam sukan dan sentiasa taat pada keluarga," katanya. 

Sehubungan itu orang ramai yang berjumpa atau mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi IPD Brickfields di talian 03-90571086 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Rosnani Ramli di talian 017-2194171. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...