Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-hafiz menunjukkan Bible yang mengandungi kalimah Allah selepas membuat laporan polis di Balai Polis Binjai, Kota Bharu, Kelantan, semalam. |
KOTA BHARU 13 Jan. - Minda Pondok, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai beberapa pondok di negeri ini bersama guru-guru al-Quran dari kawasan Kubang Kerian, membuat laporan polis berhubung isu kalimah Allah yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Binjai dekat sini kira-kira pukul 9.45 pagi dan dihadiri hampir 100 penyokong yang tidak berpuas hati terhadap tuntutan Guan Eng itu supaya kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
Isu ini telah menimbulkan kemarahan rakyat. Jadi sekiranya tidak ada sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa, tidak mustahil keadaan akan menjadi semakin keruh.
Malah, tidak mustahil juga ia boleh menimbulkan rusuhan antara agama dan huru-hara yang berpanjangan dalam negara yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau turut meminta pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci ke atas Bible versi bahasa Melayu cetakan 1996 yang didakwa sudah mengguna pakai kalimah suci itu.
Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam timbul kembali selepas Guan Eng ketika sambutan Krismas lalu meminta kerajaan membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah itu dalam Bible bahasa Melayu.
Mengulas lanjut, Mohd. Syamsul berkata, perkara tersebut mesti diberi perhatian serius dari semua sudut termasuk aspek perundangan bagi mengelak kekeliruan dan kesangsian dalam kalangan umat Islam yang beriktikad bahawa Allah itu Esa.
Kita amat bimbang dengan konflik ini kerana sejarah telah terbukti bahawa sudah ada orang Islam yang murtad menjadi paderi sebelum ini," katanya.