Selasa, 15 Januari 2013

Perhimpunan berniat jatuhkan kerajaan - Dr. Mahathir


CYBERJAYA 14 Jan. - Perhimpunan di Stadium Merdeka Sabtu lepas cuba meniru apa yang berlaku di sesetengah negara Arab dengan niat menjatuhkan kerajaan sedia ada, kerana penganjur merasakan ia tidak boleh menang pilihan raya umum nanti, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jadi mereka berharap dengan meniru, dapat menjatuhkan kerajaan, sedangkan kerajaan negara ini bukan seperti di negara Arab, bukan kerajaan kuku besi, ia adalah kerajaan yang dipilih rakyat.

"Apa yang mereka tiru itu bukan cara demokrasi...jika nak adakan perhimpunan atau demonstrasi perlulah ada alasan, tetapi bukanlah demonstrasi mengenai Shamsidar (Taharin). Jadi seolah-olah bila ada sahaja kes mahkamah, kena adakan demonstrasi," katanya kepada pemberita di sini selepas menghadiri taklimat perkembangan pembangunan Cyberjaya oleh Kumpulan Emkay hari ini.

Shamsidar ialah isteri timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang akan menjadi saksi kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap anggota Dewan Negara Datuk S.Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd.

Tun Dr Mahathir berkata, perhimpunan anjuran parti pembangkang itu mewujudkan keadaan serba salah kepada pihak berkuasa yang menjaga ketenteraman awam.

"Bila pihak berkuasa ambil tindakan akan dituduh bertindak kasar jika tidak mengambil sebarang tindakan juga tetap diperkatakan," katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...