KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung pelanggaran tiga daripada 27 syarat perhimpunan anjuran parti pembangkang di Stadium Merdeka minggu lepas, dijangka siap minggu depan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata laporan itu dijangka siap selepas polis mengambil keterangan penganjur himpunan yang juga Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, semalam.
"Selepas ini, mungkin akan ada lagi individu yang dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kepolisan Komuniti anjuran JSJ (D7) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Sabtu.

