BESUT - Seorang mekanik cedera parah diserang sekumpulan empat lelaki di depan rumahnya di Kampung Darau, Hulu Besut semalam.
Lelaki berusia 29 tahun itu diserang di hadapan ibunya, seorang peneroka di Felda Selasih, yang ke rumah anaknya itu berhampiran Sekolah Kebangsaan Darau pada pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria ketika mengesahkan kejadian berkata akibat serangan itu, lelaki berkenaan cedera parah di bahagian lengan, rusuk dan ibu jari tangan kanan serta belakang badan.
"Lelaki yang cedera parah itu dihantar oleh ibunya dengan bantuan penduduk kampung ke Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan," katanya.
"Selepas menetak mangsa, keempat-empat suspek melarikan diri dengan kereta tetapi mangsa sempat mengenalpasti nombor pendaftaran sebuah daripada kereta yang digunakan," katanya.
Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun beberapa jam selepas kejadian bagi membantu siasatan dan hasil ujian awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah Methamphetamie.
"Siasatan awal mendapati serangan bermotif balas dendam setelah mangsa dikatakan gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang," katanya.- Bernama