Jumaat, 18 Januari 2013

Usah politikkan tahanan mati dalam lokap: Polis


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli
Kuala Lumpur: Orang ramai diminta tidak mempolitikkan kes kematian seorang tahanan, dipercayai anggota kumpulan samun bersenjata di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, Isnin lalu. 

Ini berikutan hasil bedah siasat ke atas mayat Chang Chin Tee, 30, yang dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan fizikal di luar dan dalam tubuh badan si mati. 

Tunggu punca kematian 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata sehingga kini pihaknya masih menunggu keputusan penuh punca sebenar kematiannya selepas lapan organ tubuh badan si mati diambil sebagai sampel untuk pemeriksaan Jabatan Kimia. 

“Polis tidak pernah berselindung dalam siasatan kes berkenaan, malah tidak pernah bertindak melakukan kekerasan terhadap si mati, ketika dalam menjalankan siasatan kes samun yang dilakukan mangsa dan tiga rakannya. 

“Justeru, saya minta orang ramai tidak menimbulkan atau percaya terhadap spekulasi kononnya tahanan berkenaan mati akibat didera polis ketika siasatan dilakukan,” katanya kepada media di sini semalam. 

Kelmarin, isteri si mati membuat laporan polis memohon siasatan dijalankan ke atas Polis Daerah Subang Jaya yang didakwa mendatangkan kecederaan hingga menyebabkan kematian lelaki itu selepas mendapati ada kesan lebam pada muka dan tangan si mati. 

Chin Tee ditemui tertiarap dengan mulut berbuih di dalam lokap, kira-kira jam 8 pagi, 14 Januari lalu ketika anggota polis melakukan pemeriksaan di dalam sel lokap balai berkenaan. 

Dia bersama tiga rakan jenayahnya berusia 19, 32 dan 36 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah hotel di USJ 1, kira-kira jam 3.30 petang, 10 Januari lalu selepas polis mendapat maklumat salah seorang mereka berada di hotel berkenaan. 

Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga kunci kereta Nissan, dadah syabu seberat tiga gram, dua telefon bimbit serta beberapa resit pajak gadai dalam dompet milik suspek.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...