SHAH ALAM: Polis sedang menyiasat tindakan sekumpulan anggota polis yang menembak sebuah kereta sewaktu insiden kejar-mengejar yang mengakibatkan kematian seorang wanita di dalam kereta itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis telah memulakan siasatan malah sebelum ia dibangkitkan oleh portal berita dan blog tertentu yang mendakwa tembakan itu tidak sepatutnya berlaku tanpa sebab.
Beliau berkata, polis sedang menunggu laporan forensik bagi menentukan sama ada anggota polis itu mengendalikan keadaan itu dengan betul atau tidak.
“Tiada siapa boleh membatasi undang-undang dan kami tidak berkompromi dengan sesiapa walaupun mereka di kalangan kami,” tegas Mohd Adnan.
Dalam insiden pada 18 Januari lalu, Pua Bee Chun yang berusia 22 tahun terbunuh selepas polis menembak sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki yang merupakan suspek dalam beberapa kes jenayah di Selangor.
Polis melepaskan tembakan selepas pemandu itu cuba untuk merempuh anggota polis dalam satu kejadian kejar-mengejar sejauh 10 kilometer.
Lelaki itu yang tidak cedera kemudiannya menyerah diri dan polis menemui Pua di tempat duduk penumpang hadapan yang terkena tembakan.
Mohd Adnan berkata, polis mendakwa lelaki yang berusia 31 tahun itu pada Rabu atas beberapa kesalahan, termasuk memiliki dadah dan senjata, serta memandu kereta curi.