SELAYANG - Seorang ejen hartanah mendakwa kerugian RM5,000 akibat ditipu menerusi panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis.
Mangsa, Tan Kim Geok, 44, berkata, terdapat pihak mengambil kesempatan ke atas keluarganya selepas dia ditahan atas tuduhan mencuri barangan di sebuah pasaraya di Jinjang.
Menurutnya, sepanjang tempoh dia ditahan dilokap selama dua hari bermula 24 Januari lalu, keluarganya menerima panggilan daripada individu yang mengaku dirinya polis dan berjanji akan membantu Kim Geok.
Kim Geok berkata, mengesyaki ada sesuatu tidak kena, suami dan ibunya enggan memasukkan wang seperti diarahkan.
Katanya, disebabkan sukar untuk berhubung dengan orang luar semasa direman, dia tidak dapat memaklumkan perkembangan dirinya kepada keluarga.
“Pada 25 Januari, pihak mahkamah menghubungi keluarga memaklumkan saya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan sebutan semula kes akan berlangsung pada Februari.
“Kami menghubungi individu tersebut yang berjanji akan mengembalikan wang ke dalam akaun pada 28 Januari lalu namun sehingga kini RM5,000 belum dikembalikan,” katanya.
Kim Geok berkata, sidang media dibuatnya supaya siasatan dapat dilakukan ke atas individu yang menggunakan nama polis untuk mendapatkan wang dan mengaku dapat menyelesaikan kesnya di luar mahkamah.