Khamis, 28 Mac 2013

PERSEDIAAN PRU13 : 1,000 PVR AKAN DITAMBAH DI SARAWAK


Kuching, 27 Mac - Seramai 1,000 lagi anggota pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) akan ditambah di Sarawak bagi membantu mengawal keamanan semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata anggota PVR tambahan ini akan ditempatkan terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai panas sepanjang tempoh pilihan raya kelak.

Bercakap kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan berjumlah RM4,000 dari Persatuan Bajau-Suluk Miri kepada Tabung Wira Lahad Datu di sini, Acryl Sani berkata sehingga kini, seramai 200 anggota PVR dilantik di negeri ini selepas menjalani latihan asas seminggu.

Sementara itu, beliau berkata jabatannya juga telah melaksanakan sedikit rombakan dalam perancangan penempatan untuk anggota dan pegawai dalam persediaan PRU13 berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.

Katanya, rombakan itu dilakukan kerana ada anggota dan pegawai polis negeri ini dihantar ke Sabah untuk membantu dalam operasi membanteras kegiatan pengganas. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...