Ahad, 31 Mac 2013

Peruntukan 1,000 Unit Motosikal Bakal Mantapkan URB


Subang Jaya, 30 Mac – Penambahan sebanyak 1,000 lagi unit Kawasaki Ninja 250R yang digunakan oleh Unit Ronda Bermotosikal (URB) PDRM dijangka akan memantapkan penugasan unit ini dalam membantu mencapai matlamat mengurangkan jenayah.

Berita baik ini telah diumumkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak petang tadi sempena Majlis United Against Crime di Stadium Mini Kompleks 3K, MPSJ SS13 Subang Jaya. 

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara dalam ucapannya berkata, kesungguhan yang serius dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif yang diambil untuk mengurangkan jenayah telah membuahkan hasil walaupun dalam tempoh singkat implementasi. 

Sehingga 20 Mac, iaitu kira-kira tiga bulan setelah dilancarkan, sebanyak 207 tangkapan suspek telah dibuat oleh URB iaitu 129 di Selangor, 30 di Kuala Lumpur, 38 di Johor dan 10 di Pulau Pinang, iaitu negeri-negeri fokus NKRA Mengurangkan Jenayah dan hampir semua tangkapan ini adalah mengenai kesalahan yang dilakukan di kawasan-kawasan perumahan dan tempat orang ramai. 

Hadir sama menyerikan majlis pada hari ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman bin Haji Yusop,Timbalan Menteri Dalam Negeri,Dato’ Lee Chee Leong, Ketua Setiausaha KDN, Dato’ Sri Abdul Rahim Bin Mohd Radzi, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) KDN, Dato’ Alwi Bin Haji Ibrahim, Pengarah-pengarah dan Timbalan-timbalan Pengarah PDRM, Pimpinan-pimpinan Jabatan naungan KDN serta wakil-wakil media.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...