Ahad, 31 Mac 2013

OPERASI DAULAT TIDAK TERHAD KEPADA TEMPOH TERTENTU


Lahad Datu, 30 Mac - Operasi Daulat hanya akan ditamatkan selepas pasukan keselamatan yakin kawasan yang bergolak benar-benar selamat, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Beliau berkata pasukan keselamatan tidak menetapkan tarikh atau tempoh tertentu Operasi Daulat kerana usaha membanteras pengganas yang dijalankanpasukan keselamatan itu merentasi kawasan lebih luas dari Lahad Datu.

"Ia (tutup atau tidak) bergantung kepada keadaan sasaran keselamatan yang ditetapkan dan operasi yang dijalankan.

"Kita mesti ingat, Operasi Daulat bukan sahaja melibatkan kawasan Lahad Datu tetapi ianya lebih luas merangkumi daerah Semporna dan Sandakan," katanya pada sidang media di Markas Operasi di Felda Sahabat, dekat sini hari ini.

Sejak dilancarkan 26 hari lalu, Operasi Daulat membawa kepada penangkapan 443 individu atas pelbagai kesalahan, 121 orang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), manakala 68 militan ditembak mati.

Beliau berkata satu mayat pengganas yang terbunuh pada 6 Mac lepas dibawa keluar dari kawasan pertempuran di Kampung Tanjung Batu pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan yang dikeluarkan 46 orang. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...