Sabtu, 30 Mac 2013

Dua lelaki cedera ditembak di pub

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU 29 Mac - Dua lelaki tercedera masing-masing di kaki kanan dan kiri dada akibat terkena tembakan rambang yang dilepaskan oleh seorang lelaki tidak dikenali di sebuah pusat hiburan di Jalan Damai, Taman Serene di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 11.45 malam itu, seorang lelaki yang memakai topi keledar penuh memasuki pusat hiburan berkenaan dan melepaskan lima das tembakan secara rambang sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, semasa kejadian, terdapat 10 orang termasuk pekerja berada dalam premis tersebut.

"Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki dipercayai menggunakan pistol separa automatik .9mm melepaskan beberapa das tembakan secara rambang. Polis turut menemukan beberapa kelongsong peluru di pusat hiburan itu.

"Tembakan rambang yang dilepaskan telah mencederakan dua lelaki berusia 42 dan 51 tahun. Seorang mangsa masih dirawat di hospital tetapi dilaporkan stabil, manakala seorang lagi sudah keluar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah di sini hari ini.

Terdahulu, Zainuddin meluangkan masa melawat mangsa di hospital berkenaan untuk bertanya khabar.

Beliau berkata, polis sedang giat menjalankan siasatan untuk mengesan suspek dan menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi talian 07-221 2999 atau melaporkan terus ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa yang enggan dikenali memberitahu, semasa kejadian, dia sedang minum di pub berkenaan bersama abangnya sambil menikmati persembahan sebuah kumpulan muzik di situ.

"Tiba-tiba saya terdengar beberapa das tembakan dan semua pelanggan di pub itu menundukkan diri mencari perlindungan.

"Saya masih ingat abang ada menolak saya untuk berlindung sebelum terasa kaki kanan saya ditembak," katanya. - UTUSAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...