Sabtu, 30 Mac 2013

Sokongan Anda Kekuatan Kami – PDRM


Kuala Lumpur, 29 MAC – “Keadaan tidak mungkin boleh diubah, namun sumbangan tersebut merupakan satu sokongan moral yang sangat tinggi bukan sahaja kepada waris mereka yang terkorban tetapi menjadi suntikan semangat kepada para pejuang kita yang kini sedang menyerahkan jiwa raga mereka mencurahkan khidmat bakti, berjuang bagi mendaulatkan negara di Sabah,” ujar YDH Tan Sri Dato’ Seri Utama Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara dalam ucapannya di PULAPOL Kuala Lumpur, hari ini. 

Berucap sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Keluarga Wira Negara - Op Daulat Dan Anugerah Akademik Cemerlang Bakat Seni di Dewan Bankuet PULAPOL, beliau mewakili PDRM berterima kasih kepada semua individu serta agensi yang tidak jemu-jemu menyumbang kepada wira-wira negara, sama ada dalam bentuk kewangan dan juga sokongan moral, termasuklah doa dan solat hajat dengan harapan semua petugas keselamatan ini selamat dan terus berbakti dengan komited di dalam menewaskan pengkhianat negara. 

Tambah beliau lagi, PDRM turut menyambut baik usaha dan keprihatinan pihak-pihak seperti Kelab Penyokong Wira Negara Jabatan Penerangan Malaysia yang telah menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Tabung Kebajikan PDRM pada hari ini dan beliau turut menjelaskan baru-baru ini PDRM juga telah menerima sumbangan sama yang berjumlah RM15,000 daripada Kelab Penyokong Wira Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Cawangan Sabah. 

Majlis pada hari ini turut menyaksikan pihak Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menyampaikan sumbangan khas sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga, lapan pegawai dan anggota polis yang telah terkorban semasa Op Daulat di Sabah. 

Dalam pada itu, KPKK juga menyumbang sebanyak 126 unit netbook 1Malaysia yang kepada anak-anak warga KDN/KA yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga yang terlibat aktif dalam bidang kebudayaan serta bakat seni. 

19 orang anak-anak balu juga mendapat satu unit netbook setiap seorang dan Jabatan KDN/KA (Pentadbiran) juga turut mendapat 10 unit netbook 1Malaysia. 

Upacara penyampaian sumbangan ini telah disempurnakan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais bin Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan disaksikan oleh Ketua Polis Negara. 

Hadir sama pada hari ini, Ketua Setiausaha KPKK, Dato’ Seri Kamaruddin Siaraf, Dato’ Seri Salleh bin Mat Rasid, Pengarah KDN/KA, Pengarah-Pengarah PDRM dan Timbalan-timbalan Pengarah PDRM, pegawai-pegawai KPKK tetamu-tetamu jemputan serta wakil-wakil media

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...