KUALA LUMPUR, 4 Mac - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia yang terkorban semasa menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Seri Paduka amat berdukacita di atas kehilangan pahlawan negara tersebut.
Seri Paduka juga berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah.
Dua anggota VAT 69 terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 1Mac manakala enam anggota pasukan keselamatan terkorban setelah diserang hendap kumpulan penceroboh bersenjata di Semporna, Sabtu lepas. - BERNAMA