Isnin, 29 April 2013

Gagal Hadir Bicara, Uthayakumar Dikenakan Waran Tangkap


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap P. Uthayakumar kerana gagal hadir ke mahkamah pada perbicaraan kesnya pada Isnin.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlina Rasdi supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap peguam itu kerana gagal hadir pada perbicaraan kesnya iaitu menerbitkan satu surat berbaur hasutan di laman web 'Police Watch' enam tahun lalu.
Penjamin kepada Uthayakumar hadir ke mahkamah dan memberitahu beliau menerima sijil sakit peguam itu bertarikh 2 April hingga 17 Mei pada 4 April lepas, serta diminta menyerahkannya pada Isnin.
Pada 17 Disember 2007, Uthayakumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan antara 15 November dan 8 Disember 2007.
Bagi kesalahan itu, Uthayakumar didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Uthayakumar akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas dan Parlimen Kota Raja pada pilihan raya umum 5 Mei ini. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...