Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan, manakala rakannya seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Azizan Shaari, 30, dari Cawangan Bengkel Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, manakala rakannya Jeffridin Manan, 33, dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah melakukan rompakan menggunakan senjata api jenis revolver di sebuah kedai emas di Marang, kira-kira dua tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa merompak barang kemas bernilai RM35,000 milik Fong Swee Heng, 50, dan semasa melakukan rompakan itu menggunakan sepucuk senjata api revolver dan satu tukul besi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohamad Nazri di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, manakala Jeffridin dan Azizan masing-masing diwakili peguam, Osman Bakar dan Bernard.
Terdahulu dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kejadian rompakan yang berlaku sebaik saja kedai dibuka pada waktu siang dan di tempat awam dengan tertuduh menutup muka.
Katanya lagi, ia satu rompakan dirancang secara teratur dan paling penting rompakan itu menggunakan senjata api iaitu pistol menyebabkan mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal.
“Hukuman penjara lebih lama diberikan kepada tertuduh kedua (Azizan) kerana sebagai polis, dia sepatutnya menjaga dan melindungi orang awam, tetapi bertindak sebaliknya apabila turut sama-sama melakukan jenayah,” katanya.