KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman, yang hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata Muhammad Ridhwan ditahan untuk siasatan lanjut setelah polis mengambil keterangannya.
"Kami tahan dia di bawah Sosma dan dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor," katanya kepada Bernama di sini.
Lelaki berusia awal 50-an itu menyerah diri selepas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib semalam menamakannya sebagai orang yang dicari untuk membantu siasatan berhubung kes berkaitan Operasi Daulat.
Hamza berkata Muhammad Ridhwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, diminta menyerahkan diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.
Dengan penahanan itu, jumlah mereka yang ditahan di bawah SOSMA bagi membantu siasatan kes pencerobohan Sabah, kini ialah 122 orang. - BERNAMA