PARIT BUNTAR - Misteri penemuan objek terapung di dalam sebuah tali air yang disangka bangkai haiwan, petang kelmarin akhirnya terjawab apabila ia disahkan mayat bayi perempuan yang baru lahir.
Saksi kejadian, Mohd Sabli Asari, 49, berkata, lebih kurang jam 5.30 petang, dia yang menunggang motosikal menyeberangi jambatan di tali air Batu 5, di sini
sebelum terpandang objek terapung menyerupai bangkai haiwan.
Menurutnya, dia mengamati objek itu lebih kurang lima minit sebelum menyedari objek berkenaan mempunyai bentuk kaki dan tangan menyerupai tubuh bayi.
“Bagi memastikan objek itu adalah bayi, saya memanggil seorang rakan, Abu Hassan Md Raiz dan seorang penduduk yang kebetulan melalui jalan itu untuk melihatnya.
Kata Mohd Sabli, dia mengarahkan Abu Hassan menelefon balai polis berhampiran bagi memaklumkan kejadian itu.
Sementara itu, Abu Hassan ketika ditemui kesal dengan kejadian tidak berperikemanusiaan itu dan tidak menyangka perkara berkenaan boleh berlaku di kawasan kampung di sini.
Jelasnya, individu tidak bertanggungjawab itu dianggap sebagai manusia yang tidak berhati perut kerana sanggup membunuh bayi yang dilahirkan dari rahim sendiri.
“Individu yang bertindak kejam seperti ini tidak layak untuk dimaafkan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, siasatan polis mendapati bayi malang itu baru beberapa hari dilahirkan sebelum dibuang.
“Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan. Sehingga kini masih tiada tangkapan dibuat.
“Saya meminta kerjasama daripada mana-mana klinik swasta yang menerima kelahiran dalam tempoh terdekat ini agar tampil memberi keterangan bagi memudahkan polis menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya.
Kata beliau, kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta menghubungi balai polis berdekatan.