Khamis, 11 April 2013

PDRM SEDIA HADAPI PRU-13


CHERAS, 11 MAC – Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar mengingatkan ketua-ketua polis daerah supaya sentiasa meletakkan asas penugasan polis untuk bertindak tanpa menyebelahi mana-mana pihak pada sepanjang masa, termasuklah di musim PRU-13. 

Ini, kata beliau, adalah penting sebagai tonggak integriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Peranan dan tugas polis semasa pilihan raya adalah sama iaitu untuk menjamin keamanan serta keselamatan, dan secara langsungnya menentukan ketenteraman awam sentiasa terkawal,” ujar beliau. 

Namun, beliau menjelaskan kerancakan kempen mengenai ideologi politik boleh menyebabkan ancaman kepada ketenteraman awam, sama ada menjelang, sewaktu atau selepas pilihan raya. 

“Lebih-lebih lagi dalam konteks sekarang, semua tindakan kita mungkin akan diperhalusi satu- persatu oleh semua pihak yang berkepentingan,” tambahnya. Sehubungan itu, beliau sekali lagi telah menekankan kepada semua peringkat jabatan mahupun kontinjen-kontinjen yang bertugas agar memastikan kesiapsagaan perancangan dan keperluan logistik serta komunikasi di tahap yang terbaik dalam memastikan PRU kali ini berjalan dengan lancar. Beliau juga mengingatkan agar petugas yang terlibat sentiasa profesional dalam menghadapi sebarang situasi dan cabaran yang bakal dihadapi kelak. 

Beliau menegaskan sistem saluran komunikasi yang cekap dengan penyaluran maklumat yang responsif akan dapat menghindarkan fakta dari dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Justeru, beliau telah mengarahkan supaya sistem komunikasi di peringkat daerah, kontinjen dan ibu pejabat PDRM dipertingkatkan dengan memberi maklumat keselamatan secara berkala kepada masyarakat menerusi taklimat media di peringkat kontinjen dan ibu pejabat. 

Beliau berucap demikian sempena Majlis YDH Ketua Polis Negara bersama semua Ketua Polis Daerah, Pegawai Pemerintah Batalion PGA dan Pegawai Pemerintah FRU di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras, petang tadi. 

Maklumbalas daripada peserta di majlis tersebut menunjukkan bahawa mereka kini lebih jelas tentang peranan masing-masing ketika menghadapi musim Pilihanraya Umum Ke-13 ini. Kesemua peserta berharap agar proses demokrasi ini berjalan lancar tanpa insiden yang boleh menjejaskan keharmonian dalam negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...