Selasa, 23 April 2013

Pencuri ayam diberkas selepas sejam dikejar polis

Gambar hiasan saja

JEMPOL  - Polis menahan seorang suspek kes curi ayam di pekan Bahau dekat sini pada Isnin lalu, selepas dikejar hampir sejam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, kejadian kecurian yang berlaku pada pukul 1.30 pagi itu disedari seorang peniaga ayam sebuah pasar di pekan berkenaan.

Beliau berkata, seorang peniaga lelaki berusia 20-an telah melihat sebuah lori dipercayai kenderaan sama yang digunakan oleh penjenayah untuk mencuri ayam beberapa bulan lalu.

"Dia kemudian mengekori lori tersebut dan terkejut apabila mendapati kenderaan itu berhenti di kedai milik jirannya di pekan Bahau.

"Peniaga terbabit terus mengintip perbuatan suspek bersama dua lagi rakannya yang ketika itu sedang mencuri ayam untuk dimasukkan ke dalam raga di atas lori," katanya dalam pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sini hari ini.

Hamzah berkata, suspek yang kemudian menyedari kehadiran lelaki berkenaan terus melarikan diri dengan lori bersama 360 ekor ayam daging dan 36 raga yang digunakan untuk mengisi ayam.

Beliau berkata, dua rakan suspek yang tidak berada dalam lori sempat melarikan diri secara berasingan.

Pada masa sama, katanya, pemilik kedai berusia 47 tahun dan anaknya yang menyedari kejadian itu bertindak mengejar lori berkenaan dengan sebuah kereta sebelum dilanggar suspek.

"Suspek akhirnya dapat ditahan oleh polis peronda berhampiran Ulu Bendul, Kuala Pilah pada pukul 2.18 pagi iaitu setelah hampir sejam dikejar.

"Polis kini menjejaki dua rakan suspek yang masih bebas dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...