KUALA TERENGGANU - Seorang wanita bertindak nekad menarik beg tangan miliknya daripada diragut oleh dua lelaki walaupun terpaksa menahan kesakitan, dalam satu kejadian ragut di Jalan Bukit Kecil, di sini, Jumaat lalu.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, 51, yang bekerja sebagai pembantu kedai sedang berjalan kaki bersama anak perempuannya dari arah Jalan Bukit Kecil menuju ke Pulau Kambing, di sini, sebelum dihampiri dua suspek yang menunggang motosikal.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dihampiri dua suspek sebelum pemboncengnya cuba meragut beg tangan milik mangsa.
Sumber berkata, susulan itu, tali beg putus sebelum mangsa tersembam di atas jalan.
“Ketika itu, beg tangan masih berada dalam tangan mangsa yang sedang mengerang kesakitan akibat terjatuh, sementara kedua-dua suspek segera melarikan diri sebaik menyedari orang ramai mula menghampiri tempat kejadian.
“Bagaimanapun, dalam keadaan kelam kabut itu, suspek yang melarikan diri gagal mengawal motosikal sebelum terbabas dan melanggar sebuah pacuan empat roda yang ada di tepi jalan,” katanya.
Jelasnya, suspek yang menunggang motosikal sempat melarikan diri sementara rakannya berjaya ditahan orang ramai yang kebetulan berada di lokasi.
“Suspek berusia 22 tahun dari Kuala Ibai, di sini, itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan usaha memburu rakan suspek berusia 20-an sedang dijalankan.