Sabtu, 13 April 2013

Pencuri kabel cedera dibelasah orang kampung


Cedera dibelasah orang kampung
BESUT - Seorang lelaki  berusia 21 tahun cedera dibelasah orang ramai selepas ditangkap ketika cuba mencuri kabel elektrik di sebuah kilang padi di Kampung Pondok Paku dekat Jabi malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, suspek cedera di bahagian muka dan kaki akibat dipukul penduduk kampung ketika usaha menangkapnya dilakukan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek yang beralamat di Kampung Tok Dor itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut bersama dua lagi rakannya.

Bagaimanapun katanya, dua lagi rakannya yang telah dikenal pasti berjaya meloloskan diri dan gagal dikesan.

“Suspek bertindak mencuri kabel pendawaian elektrik di kilang padi yang telah enam bulan tidak beroperasi,” katanya.

Kamaruddin berkata, pemilik kilang tersebut membuat aduan mengalami kerugian kira-kira RM350,000 apabila pendawaian di situ dicuri termasuk dalam kejadian yang berlaku sebelum ini.

Katanya, penduduk kampung kemudiannya menyerahkan suspek kepada polis sebelum dia dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan.

Menurutnya, suspek kemudiannya ditahan untuk membantu siasatan, manakala saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (pil kuda).

“Polis turut merampas empat gulung wayar bercampur-campur pelbagai warna dan satu alat pengepit dipercayai digunakan untuk perbuatan itu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...