Pegawai perubatan memeriksa seorang peniaga yang maut selepas terkena tujuh das tembakan di Lingkaran Pantai Jerjak dekat George Town pada Selasa. Mangsa S. Arumugam, 48, dari Changkat Minden, Sungai Gelugor ditemani seorang rakan didatangi dua lelaki menaiki motosikal dan melepaskan tembakan dan terkena bahagian badan serta kepala mangsa. Rakan mangsa berjaya melepaskan diri dan pihak polis sedang mengesan kedua-dua suspek dan rakan mangsa |
GEORGE TOWN: Seorang peniaga maut selepas terkena tujuh das tembakan yang dilepas lelaki tidak dikenali di Lingkaran Pantai Jerjak dekat sini pada 4.40 petang Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata ketika kejadian, mangsa, S.Arumugam, 48, dari Changkat Minden, Sungai Gelugor sedang memandu kereta jenis Hyundai Matrix dengan ditemani seorang rakan.
"Rakan mangsa yang turut berada dalam kereta ketika tembakan dilepaskan berjaya melarikan diri, dan sepasukan anggota polis telah diarah untuk mengesan suspek dan rakan mangsa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Mazlan berkata mangsa, yang memiliki rekod jenayah lampau, mati di tempat kejadian dan motif masih disiasat.
"Berdasarkan maklumat daripada pasport mangsa yang ditemui, didapati mangsa baru balik dari sempadan di utara," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -BERNAMA