Kota Kinabalu 16 April - Polis telah mengenal pasti lapan Parlimen dan 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini sebagai kawasan panas sepanjang Pilihanraya Raya Umum Ke-13.
Pesuruhjaya Polis Sabah Dato' Pahlawan Hj Hamza bin Taib mengatakan lapan daripadanya adalah kerusi Parlimen iaitu Sandakan, Tawau, Kota Kinabalu, Sepanggar, Pensiangan, Beaufort, Penampang dan Tuaran.
Turut dikenal pasti adalah kerusi Dewan Undangan Negeri Likas, Luyang, Api-Api, Kuala Penyu, Inanam, Kepayan, Bingkor, Seri Tanjung, Klias, Merotai, Karamunting, Tanjung Papat dan Elopura.
" kami mengenal pasti ini sebagai kawasan panas disebabkan oleh persaingan yang sengit dikalangan parti-parti di kawasan itu, kami tidak mengharapkan sebarang pergaduhan jalanan tetapi mungkin ada menjadi persaingan dua penjuru atau tiga penjuru".
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi taklimat dan dialog di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan. Sesi taklimat dan dialog yang diadakan telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada parti politik yang yang akan bertanding pada PRU-13 dan semua wakil telah diberi penerangan tentang perkara yang patut dan tidak patut dilakukan pada PRU-13.
Pihak polis menegaskan, semua parti bertanding perlu mematuhi Akta Pilihanraya 1958 dan Akta kesalahan Pilihanraya 1958 selain Akta Perhimpunan Aman 2012 supaya PRU-13 berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini berlaku.
Pesuruhjaya Polis Sabah juga telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah untuk memproses permit dalam tempoh 24 jam supaya wakil parti akan mempunyai masa yang mencukupi untuk berkempen.
Seramai 7,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan mengawal keselamatan sepanjang PRU-13 di negeri ini.