KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab menayangkan video seks secara terbuka bagi tujuan politik di markas mahupun pada ceramah yang dianjurkan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata polis tidak akan berkompromi dengan perbuatan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya segera melaporkannya.
Polis sedang giat memantau markas parti politik yang dipercayai membuat tayangan video itu secara terbuka, katanya kepada pemberita.
Sebelum ini, Penolong Setiausaha Agung PAS Dr Syed Azman Syed Nawawi meminta polis mengambil tindakan segera terhadap pihak yang membuat tayangan video seks secara terbuka di markas parti politik.-BERNAMA