Nurul Hidayah (kanan) dan rakannya, Siti Norhasmida Yusof melakonkan semula detik cemas ketika disamun, malam semalam |
MARANG – Seorang lelaki bersenjatakan pisau
pemotong daging berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM2,700 dalam kejadian
samun di sebuah kedai runcit berdekatan sebuah bank di Pekan Bukit Payung,
dekat sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam
10.15 malam itu, suspek yang memakai topi keledar itu mengacukan senjata tajam
ke arah perut seorang juruwang wanita yang ketika itu berada di kaunter
pembayaran kedai runcit tersebut.
Nurul Hidayah Nordin, 22,
berkata, lelaki yang turut menggalas sebuah beg sandang itu menunggang sebuah
motosikal jenis Modenas Kriss.
"Saya tidak mengesyaki
apa-apa. Lagaknya bersahaja ketika mahu mengeluarkan sesuatu dari dalam beg
sandang yang diletakkan di atas kaunter pembayaran.
“Saya terkejut dan panik
apabila dia mengeluarkan pisau pemotong daging sebelum mengacukan senjata
berkenaan ke arah perut saya kerana pada awalnya saya fikir dia mahu
mengeluarkan dokumen untuk difotostat," katanya.
Nurul Hidayah berkata, lelaki
terbabit mengarahkannya menyerahkan semua wang dalam peti simpanan.
Menurutnya, bimbang keselamatan
dirinya, dia akur dengan menyerahkan semua hasil jualan perniagaan berjumlah
RM2,700.
"Suspek kemudian melarikan
diri dengan motosikal yang diletakkan di hadapan kedai.
"Ketika kejadian, ada lagi
dua rakan turut bekerja tetapi mereka berada di tingkat atas," katanya
yang membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung di sini.
Sementara itu, Ketua Polis
Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi
semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurutnya, polis kini giat
menjalankan gerakan memburu lelaki terbabit dan meminta orang ramai mempunyai
maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian 09-6182222 atau balai
polis berhampiran bagi membantu siasatan.