Rabu, 15 Mei 2013

PELANTIKAN TAN SRI KHALID SEBAGAI KETUA POLIS NEGARA DISAMBUT BAIK


Kuala Lumpur, 14 Mei - Pelantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai Ketua Polis Negara yang baharu disambut baik dengan keyakinan tinggi beliau mampu meningkatkan lagi imej dan keupayaan pasukan polis dalam mengharungi cabaran semasa dan akan datang.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata MCPF percaya pelantikan Khalid adalah pilihan tepat kerana beliau terbukti komited dalam menjalankan tugas.

Lee berkata kehadiran Khalid menerajui PDRM adalah pada waktu yang tepat, tetapi beliau perlu bekerja lebih keras dalam menangani isu jenayah yang semakin mencabar ketika ini.

"Kami amat berpuas hati dengan kredibiliti Khalid yang saya lihat amat tegas dan mempunyai ciri-ciri sebagai ketua polis," katanya kepada Bernama.

Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar pula yakin dengan pelantikan Khalid itu berdasarkan kemampuan beliau dalam menangani jenayah di Selangor sepanjang memimpin kontinjen polis negeri itu.

"Beliau juga mempunyai karisma sebagai seorang pemimpin, tengok cara dia bercakap serta pandai menjawab soalan terutama daripada pihak media. Beliau juga mesra rakyat," katanya.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Shamsuri Arshad turut meluahkan keyakinan yang amat tinggi terhadap pelantikan itu berdasarkan pengalaman, jati diri dan nilai-nilai positif yang dimiliki Khalid dalam menjalankan tugas.

"Beliau berpengalaman luas terutama dalam jabatan siasatan jenayah dan pernah menjadi ketua polis negeri dalam tempoh beberapa tahun," katanya.

Shamsuri berkata setelah dua tahun Khalid bersama Ismail memimpin pucuk pimpinan PDRM, pelbagai cabaran telah dihadapi bersama antaranya pencerobohan Lahad Datu dan pilihan raya umum ke-13 yang amat mencabar.

Kesemua mereka berharap agar Khalid dapat menyambung tugasan dan amanah dengan lebih baik bagi mengekalkan keamanan negara selain memperbaiki serta meningkatkan imej Polis Diraja Malaysia di mata seluruh rakyat Malaysia dan peringkat dunia.

Khalid, 56, dilantik sebagai Ketua Polis Negara berkuatkuasa Jumaat ini (17Mei) menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang akan tamat tempoh pelantikan secara kontrak selepas bersara pada 16 Mei ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan mengenai pelantikan itu turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mohd Bakri Zinin sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, berkuat kuasa hari yang sama. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...