Khamis, 16 Mei 2013

Televisyen 42 inci dikebas pencuri


Televisyen 42 inci dikebas
ROMPIN – Seorang peneroka terpaksa ‘berputih mata’ selepas televisyen 42 inci yang dibelinya secara ansuran bulanan itu dikebas pencuri yang memecah masuk rumahnya ketika mereka sekeluarga tiada di rumah selama empat hari.

Mangsa, Musa Hashim, 55, berkata, ketika kejadian itu, kesemua penghuni tiada di rumah kerana pulang ke kampung menziarahi  ayahnya yang sakit di Tanjung Karang, Selangor, petang Khamis lalu.

Bagaimanapun, katanya, sebaik saja mereka sekeluarga tiba di rumahnya di Felda Keratong 7, Chanis, petang Isnin lalu, mereka terkejut apabila mendapati  pintu  dapur  rumahnya itu sudah terbuka luas.

“Saya pun tidak dapat pastikan bilakah kejadian ini berlaku kerana tiada orang di rumah, tetapi menurut jiran, pintu rumah kami telah terbuka sejak  Sabtu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Musa berkata, dia sudah dapat menjangkakan rumahnya itu dipecah masuk dan kemudiannya terus masuk ke dalam rumah sebelum terkejut apabila mendapati televisyen Panasonic bernilai RM3,500 sudah tiada di tempatnya.

“Hanya tinggal enam bulan sahaja lagi hutang televisyen ini akan dijelaskan, tetapi televisyen sudah tiada, sebaliknya saya perlu juga menjelaskan bayaran tersebut sehingga hujung bulan Oktober,” katanya.

Menurut Musa, selain televisyen, sebuah notebook 1Malaysia anaknya, Nurshamsima, 17, yang diletakkan di bilik turut dikebas pencuri dalam kejadian itu.

“Anak saya yang masuk ke biliknya  memberitahu kami, notebooknya sudah tiada, selain terdapat pakaian yang diselerakkan di atas lantai dipercayai digeledah pencuri untuk mencari
barangan berharga.

“Selain itu, saya dapati tong gas memasak juga turut hilang dikebas pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, dia membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tun Razak kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.
Sementara  itu,  Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya telah mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu  kini sedang menjalankan siasatan lanjut kes tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...