Isnin, 3 Jun 2013

Lelaki warga Myanmar maut ditetak 10 lelaki

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar maut akibat ditetak dalam kejadian di Jalan Merdeka Ria 3, Kampung Baru Ampang di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md. Nazri Zawawi berkata, kejadian berlaku pukul 7.30 pagi ketika mangsa yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta, sedang tidur di premis tempat kerjanya.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lewat 20-an itu diserang sekumpulan lebih 10 lelaki bersenjatakan parang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, polis menerima panggilan menyatakan ada pergaduhan, dan apabila tiba di lokasi kejadian polis menemui mayat mangsa dalam keadaan meniarap kira-kira 100 meter daripada tempat dia diserang.
"Polis percaya mangsa mati akibat terkena satu tetakan masing-masing di bahagian leher, rusuk dan bahagian belakang badan," katanya. - Bernama



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...