PASIR MAS – Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bersebelahan Bangunan Tabung Haji Pasir Mas di sini dipecah perompak menyebabkan kerugian lebih RM200,000 awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian tersebut disedari pada pukul 8.30 pagi oleh orang awam yang dipercayai mahu menggunakan perkhidmatan mesin berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan gas Oxy-Acetylene untuk memecahkan mesin ATM tersebut.
“Pemeriksaan mendapati di dalam mesin itu mengandungi wang tunai berjumlah RM217,950,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Mazlan, pihaknya sedang meneliti televisyen litar tertutup di kawasan kejadian bagi membantu siasatan selain kesan cap jari.
Sementara itu, seorang pemilik kedai bersebelahan, Lim Chung Yau memberitahu, dia mengetahui mengenai kejadian itu pada pukul 9 pagi sebaik tiba di premisnya untuk memulakan operasi perniagaan.
“Khamis lalu saya tutup kedai pada pukul 6 petang manakala semalam (Jumaat) semua premis ditutup namun saya tidak nampak kelibat orang yang mencurigakan,” katanya.
Menurut Chung Yau, kejadian tersebut adalah yang pertama dilaporkan berlaku di kawasan tersebut sejak dia mula berniaga kira-kira 12 tahun lalu.