Ahad, 9 Jun 2013

Mayat berkain pelikat ditemui


Mayat berkain pelikat ditemui
KLANG - Mayat seorang lelaki warga asing yang hanya berkain pelikat ditemui di tapak pembuangan sisa binaan di Jalan Sungai Puloh, Batu 5 1/2, Taman Klang Utama, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Jani Ahmad berkata, orang awam yang menggunakan jalan tersebut untuk ke tempat kerja terkejut melihat mayat mangsa terbaring di tepi jalan sekitar jam 8.05 pagi semalam.

“Mangsa yang berusia sekitar 30-an itu disyaki berasal dari Myammar.

“Identiti sebenar mangsa masih belum diketahui memandangkan pihak polis tidak menemui dokumen pengenalan diri milik mangsa di lokasi,” katanya.

Jani berkata, pemeriksaan lanjut unit forensik terhadap mayat mangsa menemui kesan luka dan lebam di bahagian dahi belah kanan.

Menurutnya, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan hasil keseluruhan hanya akan diperoleh selepas proses bedah siasat dilakukan lewat petang nanti.

“Pemeriksaan di sekitar tempat kejadian tidak menemui sebarang peralatan atau senjata tajam.

“Polis juga tidak mengesan adanya bukti bahawa mangsa diserang sebaliknya mangsa dipercayai terjatuh di lokasi sama sebelum rebah dan maut di lokasi terbabit,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...