Isnin, 10 Jun 2013

Dua individu hina Nabi dikenal pasti


Chukai: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenal pasti identiti dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW melalui laman sosial Facebook dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kementerian itu memandang serius kes penyalahgunaan internet di negara ini, terutama membabitkan penyebaran fitnah dan hasutan yang boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat. 

"Saya ingin mengingatkan setiap pengguna internet di negara ini bahawa mereka tidak akan terlepas daripada undang-undang, walaupun perlakuan atau penyataan mereka di laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog itu adalah atas dasar peribadi kerana ia boleh mencetus provokasi di negara ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan jamuan rakyat di FELDA Neram Satu, dekat sini, semalam. 

Shabery berkata, kecanggihan teknologi membolehkan individu terbabit dikesan pihak berkuasa seperti kes sebelum ini termasuk yang menghina Yang di-Pertuan Agong. 

Kelmarin, dua akaun Facebook menggunakan nama 'Calvin Gani' dan 'Rakyat Anarki' dilaporkan mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila memaparkan kenyataan menghina nabi. 

Ditanya kemungkinan Malaysia menyekat akses media sosial seperti Facebook, Ahmad Shabery berkata langkah itu tidak perlu buat masa ini kerana medium berkenaan mempunyai kebaikan yang dapat dimanfaatkan banyak pihak. 

“Kita tidak akan mengharamkannya hanya kerana tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab... cuma rakyat perlu tahu pihak berkuasa tidak akan berdiam diri jika mereka menyalahgunakan penggunaan laman media sosial,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...