Kuala Lumpur, 18 Jun - Restoran yang beroperasi 24 jam disaran mengupah pengawal keselamatan sebagai langkah mengelak kejadian samun berkumpulan.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di premis perniagaan mereka juga dilihat inisiatif penting dalam mengesan aktiviti jenayah.
"Polis tidak boleh berkawal di sesuatu tempat itu dalam tempoh yang lama, banyak lagi tugasan penting yang perlu dilaksanakan selain hanya memantau atau memfokuskan kepada lokasi yang sama," katanya kepada Bernama.
Ramli bagaimanapun berkata polis sememangnya melakukan rondaan berkala bagi mengekang sebarang perlakuan jenayah.
Beliau mengulas beberapa insiden samun bersenjata secara berkumpulan di restoran dengan kejadian terbaharu Ahad lepas apabila empat lelaki bersenjatakan parang dan kapak menyamun serta menyerang medan selera di Jalan Relau, BalikPulau, Pulau Pinang, menyebabkan dua pelanggan cedera.
Penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar yang turut bersetuju dengan saranan polis agar pemilik premis makanan yang beroperasi 24 jam mengupah pengawal keselamatan, menyifatkan langkah itu memberi faedah kepada pemilik premis untuk jangka panjang.
"Kerisauan pengunjung kedai makanan akan berkurang jika saranan ini dilaksanakan kerana saya yakin polis sudah membuat analisis berhubung saranan ini," katanya.
Akhbar berkata faktor kos mengupah pengawal seharusnya tidak menjadi masalah kepada premis makanan kerana ia akan memberi kesan yang baik dalam jangka masa panjang.
"Cubalah dahulu saranan ini selama lima hingga enam bulan, lihat kesannya dan teruskan jika memberi kesan positif kepada keadaan premis," katanya.
Tinjuan Bernama mendapati beberapa anggota polis membuat rondaan di kawasan tumpuan umum termasuk restoran yang beroperasi 24 jam.
Sementara itu, seorang pemilik kedai tomyam, Roslina Nafi, 37, berkata kedainya pernah disamun sebanyak empat kali dalam tempoh sebulan.
"Saya merasa bimbang membuka perniagaan saya sehingga lewat malam, tapi dengan rondaan polis di kawasan ini sedikit sebanyak mengurangkan rasa takut saya," katanya yang mengusahakan restoran itu hampir lapan tahun.
Mariani Tan, 21, seorang pekerja di kedai makanan di Setapak, di sini, pula berdepan detik cemas tahun lepas apabila dia dan beberapa pelanggan diarah masuk ke bahagian belakang kedai ketika penjenayah menyamun kedai berkenaan.
"Pengalaman itu membuat saya menjadi fobia untuk bekerja pada waktu malam. Walaupun duit dalam mesin pembayaran hanya dihadkan kepada RM150 pada waktu malam, saya tetap berasa takut akan keselamatan diri saya dan rakan sekerja lain," katanya. BERNAMA